Modal teroka

Modal teroka, modal usaha niaga atau modal usaha rentan[1] (Bahasa Inggeris: venture capital) ialah modal atau wang yang dilaburkan untuk syarikat usaha niaga oleh pelabur yang bukan pemilik asal syarikat itu. Istilah ini juga kadang-kadang digunakan untuk modal yang digunakan bagi menyelamatkan sesebuah syarikat. Pemodal teroka (venture capitalist) ialah mereka yang menyediakan modal; ini termasuk individu, bank pelaburan dan institusi yang mengkhususkan dalam menyediakan modal teroka. Pemodal teroka menjangka ada pelaburan mereka yang berjaya dan ada yang gagal. Kelangsungan pelaburan mereka bergantung kepada pemilihan lebih banyak pelaburan yang berjaya daripada yang gagal. Pemodal teroka menghadapi risiko lebih tinggi untuk rugi daripada pelabur yang melabur dalam perniagaan yang terbukti berjaya. Oleh kerana itu pelabur modal teroka mahukan jangkaan keuntungan yang lebih tinggi daripada pelaburan mereka. Apabila melabur dalam syarikat usaha niaga, pelabur ini biasanya mahu memiliki saham dalam perniagaan tersebut. Sebagai sebahagian daripada pemilik, pemodal teroka mempunyai lebih banyak kawalan ke atas pelaburan mereka dan dalam kedudukan yang lebih baik untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi jika perniagaan itu berjaya. Pemilik asal perniagaan mungkin perlu bersetuju kepada syarat ini jika ia satu-satunya cara untuk mendapatkan wang dan mengumpul dana tanpa meminjam. Pemilik juga mengalu-alukan kepakaran kewangan dan perniagaan yang boleh diberikan oleh pemodal teroka.